Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
|
Connecting science, policy and communities for resilient Southeast Asian peatlands
Bahasa Malaysia

MEMAHAMI PROJEK KARBON: PANDUAN UNTUK KOMUNITI TANAH GAMBUT

Tanah gambut amat bernilai. Syarikat dan kerajaan mungkin menawarkan bayaran kepada komuniti anda untuk melindunginya kerana tanah gambut yang sihat menyimpan karbon. Apabila tanah gambut terbakar atau rosak, karbon yang tersimpan akan memberi kesan kepada udara. Komuniti anda berpeluang menjana pendapatan dengan memastikan tanah gambut kekal sihat dan mencegah kebakaran. Projek karbon boleh menjadi peluang yang baik untuk komuniti anda. Panduan ini membantu anda memahami projek karbon dan membuat keputusan yang termaklum.

Langkah 1

Adakan Mesyuarat Komuniti dan Dapatkan Persetujuan Terlebih Dahulu

Perkara yang perlu diketahui

Sebelum sebarang perjanjian dibuat, komuniti anda mesti mengadakan mesyuarat terbuka supaya anda boleh mengemukakan soalan dan memahami projek tersebut sepenuhnya. Pakar bebas yang tidak mewakili syarikat perlu menyemak dan mengesahkan pengukuran karbon yang dilakukan.

Perkara yang perlu dilakukan
  • Minta syarikat mengadakan mesyuarat terbuka dan memberikan masa yang mencukupi kepada komuniti untuk berbincang.
  • Dapatkan khidmat pakar bebas untuk menyemak data karbon yang dikemukakan oleh syarikat.
  • Luangkan masa untuk memahami projek dan membuat keputusan bersama sebagai sebuah komuniti sebelum menandatangani sebarang perjanjian.
Langkah 2

Fahami Perkara yang Dibayar dan Bila Bayaran Akan Diterima

Perkara yang perlu diketahui

Anda perlu memahami dengan jelas cara karbon diukur, jumlah karbon yang benar-benar boleh dijual, bila bayaran akan diterima dan perkara yang akan berlaku sekiranya bayaran lewat atau dihentikan. Anda juga perlu mengetahui sama ada komuniti akan menerima bayaran secara langsung atau bayaran tersebut akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang memberikan manfaat kepada komuniti.

Perkara yang perlu dilakukan
  • Minta untuk melihat hasil pengukuran karbon dan dapatkan bantuan ahli komuniti yang memahami keadaan tanah anda untuk menyemaknya.
  • Pastikan kontrak menjelaskan sama ada individu akan menerima bayaran secara langsung atau dana akan disalurkan kepada projek pembangunan komuniti.
  • Pastikan kontrak menyatakan dengan jelas bila bayaran akan diterima, contohnya dalam tempoh tiga bulan atau satu tahun.
  • Pastikan kontrak menerangkan perkara yang akan berlaku sekiranya bayaran lewat, tertangguh atau dihentikan.
Langkah 3

Pastikan Projek Memberikan Manfaat yang Bermakna kepada Komuniti

Perkara yang perlu diketahui

Banyak projek karbon hanya mengukur karbon. Projek yang baik memberikan manfaat yang nyata dan berkekalan kepada komuniti, termasuk pencegahan kebakaran, pendapatan, peluang pekerjaan dan hak untuk bersuara dalam membuat keputusan.

Perkara yang perlu dilakukan
  • Pastikan kontrak merangkumi program pencegahan kebakaran, perlindungan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, serta pendapatan yang berterusan dan bukannya bayaran sekali sahaja.
  • Pastikan projek menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli komuniti.
  • Pastikan komuniti terlibat dalam membuat keputusan tentang pengurusan dan penggunaan tanah mereka.
  • Pastikan wanita, golongan warga emas dan golongan muda turut diminta menyuarakan pandangan tentang perkara yang penting bagi mereka.
Langkah 4

Latihan dan Pemantauan oleh Komuniti

Perkara yang perlu diketahui

Komuniti anda mempunyai pengetahuan tempatan yang tidak dimiliki oleh pihak luar. Projek tersebut perlu melabur dalam latihan yang sistematik untuk ahli komuniti, bukan sekadar mengambil mereka bekerja, tetapi juga membangunkan kemahiran dan keupayaan mereka. Peranan pemantauan serta bayaran bagi tugas tersebut perlu dinyatakan dengan jelas dalam kontrak.

Perkara yang perlu dilakukan
  • Tanya syarikat tentang program latihan yang akan disediakan kepada komuniti.
  • Pastikan peranan pemantauan dan bayaran yang berkaitan dinyatakan dalam kontrak.
  • Pastikan ahli komuniti bukan sahaja diambil sebagai pekerja, tetapi turut diberikan latihan dan dibangunkan sebagai pemantau terlatih.
  • Libatkan pemimpin tempatan dalam semua mesyuarat perancangan dan pembuatan keputusan sejak awal projek.
Langkah 5

Semak Peta dan Sempadan Tanah

Perkara yang perlu diketahui

Peta yang disediakan oleh syarikat mungkin tidak tepat atau tidak menggambarkan keadaan sebenar pemilikan dan penggunaan tanah oleh komuniti anda. Peta tersebut perlu menunjukkan bahagian tanah gambut yang dimiliki atau digunakan oleh setiap keluarga atau kumpulan supaya bayaran dan manfaat dapat disalurkan kepada pihak yang betul.

Perkara yang perlu dilakukan
  • Simpan rekod sendiri tentang sempadan tanah dan pihak yang memiliki setiap bahagian tanah.
  • Dapatkan salinan peta daripada syarikat dan semak peta tersebut dengan teliti bersama ahli komuniti.
  • Pastikan peta menunjukkan pemilikan tanah dan pembahagian kawasan dengan jelas supaya bayaran dapat disalurkan kepada keluarga atau kumpulan yang betul.
  • Selesaikan sebarang percanggahan sebelum menandatangani apa-apa perjanjian.
Langkah 6

Dapatkan Nasihat Bebas dan Belajar daripada Komuniti Lain

Perkara yang perlu diketahui

Selepas menandatangani perjanjian, anda mungkin memerlukan bantuan sekiranya timbul sebarang masalah. Komuniti lain juga sedang merundingkan perjanjian yang serupa, dan pengalaman serta pembelajaran mereka boleh membantu komuniti anda.

Perkara yang perlu dilakukan
  • Minta penasihat bebas menyemak kontrak sebelum anda menandatanganinya.
  • Simpan maklumat hubungan penasihat dan syarikat sekiranya timbul masalah pada masa hadapan.
  • Berbincang dengan komuniti lain tentang perjanjian yang telah mereka buat dan pengalaman yang diperoleh.

Senarai Semak Ringkas Sebelum Menandatangani Perjanjian

Gunakan senarai semak ini untuk menilai tahap pemahaman dan persediaan komuniti anda:

  • Bolehkah anda menerangkan kepada orang lain mengapa pengukuran karbon penting dan dari mana data tersebut diperoleh?
  • Adakah setiap ahli komuniti tahu di mana hendak mencari terma dan syarat pembayaran dalam kontrak?
  • Bolehkah komuniti anda menerangkan dengan mudah manfaat sebenar yang telah dirundingkan?
  • Adakah anda mempunyai senarai nama individu yang akan menjalankan pemantauan serta mengetahui jumlah bayaran yang akan mereka terima?
  • Bolehkah anda melukis atau menerangkan sempadan tanah anda dan membandingkannya dengan peta yang disediakan oleh syarikat?
  • Adakah anda mempunyai maklumat hubungan seseorang di luar projek yang boleh membantu sekiranya timbul masalah pada masa hadapan?
  • Bolehkah anda namakan sekurang-kurangnya satu komuniti lain yang terlibat dalam projek yang serupa?

Jika anda tidak dapat menjawab soalan-soalan ini dengan yakin, komuniti anda masih belum bersedia. Luangkan lebih banyak masa untuk berbincang dan membuat persediaan bersama.

Panduan ini disediakan untuk membantu komuniti tanah gambut memahami projek karbon dan merundingkan terma perjanjian yang adil. Sentiasa dapatkan nasihat bebas dan pastikan persetujuan bebas, terdahulu dan dimaklumkan (Free, Prior and Informed Consent (FPIC)) daripada komuniti diperoleh sebelum memasuki sebarang perjanjian.